fb fb fb fb fb

Malaysia-Thailand setuju laksana VTL, perbincangan peringkat agensi kedua-dua negara disegerakan

BANGKOK, 25 Februari- Malaysia-Thailand sepakat mengenai keperluan untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan di antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Jeneral Prayut Chan-o-cha mencapai kata putus agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan untuk membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test and Go bagi Thailand

"Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi yang lain di masa akan datang," katanya.

Ujarnya lagi,skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta termasuk semua CIQ yang di Utara Semenanjung dan Selatan Thailand serta VTL Laut di antara Langkawi-Satun.

Kedua-dua pemimpin bersetuju, inisiatif tersebut akan dapat membantu untuk memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan.


(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha di Government House, Krung Thep Maha Nakhon, Thailand)

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut senada mengenai usaha pemulihan ekonomi.

Ia antara lain, merapat kerjasama bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion menjelang 2025.

Komitmen dicapai untuk meneroka peluang pelaburan baharu di kedua-dua pihak. Perdana Menteri mempelawa pelabur Thailand meneroka sektor pelaburan baharu di Malaysia seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan ekonomi sekular.

Manakala pelabur Malaysia boleh menceburi Model Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) dan sektor baharu lain seperti penyelidikan dan pembangunan vaksin, kenderaan elektrik dan pintar, automasi dan robotik di Thailand.

"Semasa perbincangan tadi, saya dan Perdana Menteri Prayut bersetuju untuk meneruskan mekanisme dua hala yang sedia ada. Ini termasuk Rundingan Tahunan dan dua mesyuarat di peringkat Menteri, iaitu Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan," kata Ismail.

Media Baharu