fb fb fb fb fb

Malaysia terus perkukuh peranan di peringkat ASEAN

Tan Sri Dr Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Malaysia sekali lagi mengukuhkan peranannya di peringkat serantau apabila menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Antara Parlimen Interface ASEAN (ASEAN-AIPA Interface) ke-14 yang merupakan platform penting dalam menyatukan suara cabang legislatif dan eksekutif negara-negara ASEAN.

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, mesyuarat itu memperkukuh perpaduan dan kesepaduan ASEAN ke arah mencapai matlamat rantau lebih aman, inklusif dan mampan.

"ASEAN ini ada dua entiti utama satu ialah eksekutif melalui Sidang Kemuncak ASEAN, dan satu lagi ialah legislatif melalui AIPA. Oleh itu, perlu ada satu pertemuan, yang kita namakan secara bersemuka, untuk menyatukan suara rakyat yang dibawa oleh ahli parlimen dan suara pemerintah yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota media di sini.

Mesyuarat berkenaan akan membincangkan isu-isu utama termasuk alam sekitar, keselamatan makanan, serta pertumbuhan inovasi dan teknologi serantau.

"Antara fokus utama ialah isu alam sekitar dan penggunaan tenaga boleh baharu. Kita mahu melihat kerjasama teknologi, pertukaran maklumat dan penyelidikan dalam kalangan negara ASEAN," katanya lagi.

Beliau juga menekankan bahawa negara ASEAN mempunyai sumber alam dan tenaga kerja mencukupi untuk menjamin bekalan makanan serantau tanpa bergantung sepenuhnya kepada import luar.

Selain itu turut diberi tumpuan ialah meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang ketika ini mencatat sekitar 25 peratus, jauh lebih rendah berbanding kebergantungan kepada negara-negara luar.

"Kalau kita ada 700 juta penduduk tetapi perdagangan sesama kita hanya 25 peratus itu menunjukkan kita masih belum maksimumkan potensi. Kerjasama ekonomi yang kukuh boleh memperkasa rakyat dan ekonomi serantau," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI