fb fb fb fb fb

KL siap siaga menjelang Sidang Kemuncak ASEAN

Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Kuala Lumpur kini dalam mod kesiapsiagaan tinggi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Pemimpin ASEAN-GCC serta ASEAN-China yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sehubungan itu seramai 6,147 anggota polis digerakkan bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran trafik berada pada tahap terbaik.

"Pergerakan sangat besar. Kita ada 18 ketua negara. Hanya Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Subang, selebihnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Setiap pergerakan akan melibatkan kira-kira 12 kenderaan permotoran. Jadi kita perlu tutup sebahagian jalan bagi memastikan semua ketibaan mengikut protokol," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Selain aspek trafik, PDRM turut menumpukan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi utama dan hotel penginapan.

Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kelancaran acara ini mencerminkan tahap kesiapsiagaan negara sekali gus memberi kesan langsung kepada imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak boleh ambil mudah. Ini adalah penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia, dengan 378 mesyuarat sepanjang tahun. Ia simbol komitmen kita sebagai tuan rumah dan rakan strategik serantau," katanya.

Dalam pada itu orang awam dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh penganjuran acara berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI