fb fb fb fb fb

Malaysia terus lantang, konsisten perjuang isu Islamofobia

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Malaysia terus lantang dan konsisten dalam memperjuangkan isu Islamofobia di peringkat antarabangsa, termasuk dalam Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Hak Asasi Manusia PBB, serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Ros Suryati Alang semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

"Malaysia sentiasa aktif dan lantang dalam mengetengahkan isu Islamofobia di PBB, Majlis Hak Asasi Manusia dan OIC. Malaysia mengambil pendirian tegas dengan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang insiden Islamofobia serta menggesa masyarakat antarabangsa mengukuhkan usaha mencari penyelesaian bersama bagi membanteras fenomena ini dengan lebih berkesan," katanya.

Menurut beliau, Malaysia turut bekerjasama dengan negara-negara sepemikiran seperti Iraq, Pakistan, Rusia dan Turkiye dalam mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam tindakan Islamofobia. 

Pada masa sama, Malaysia juga menekankan keperluan untuk melaksanakan langkah segera selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk melalui Deklarasi Istanbul yang dipersetujui bersama negara-negara anggota OIC, baru-baru ini.

MASNIZA AWANG KECHIK