KUALA LUMPUR, 30 Mac- Malaysia menjadi antara negara terawal menghulurkan bantuan kepada Myanmar dengan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ekoran bencana gempa bumi yang melanda negara itu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, seramai 50 anggota SMART telah berlepas ke Myanmar pagi tadi dengan diketuai oleh Kontinjen Komander PGKB 1, Tuan Mohamad Hafiezul bin Abdul Halim.
“Misi ini berlandaskan semangat ASEAN di bawah prinsip #1ASEAN1Response, di mana Malaysia komited untuk bersama membantu negara-negara jiran dalam situasi kecemasan dan bencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar sama-sama mendoakan keselamatan pasukan penyelamat yang bertugas agar dipermudahkan segala urusan sepanjang misi berlangsung.
Dalam pada itu, Tan Sri Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan termasuk polis, bomba, tentera serta pasukan perubatan yang bertugas sepanjang musim perayaan ini, memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjaga.
“Pengorbanan mereka amat dihargai, lebih-lebih lagi di saat ramai sedang membuat persiapan menyambut Syawal,” tambahnya.