KUALA LUMPUR, 13 Jun - Malaysia melakar sejarah apabila buat pertama kalinya Kuala Lumpur disenaraikan di tangga ke-18 dalam Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2025 oleh Startup Genome, sekali gus meletakkannya dalam kedudukan 20 Ekosistem Syarikat Pemula Membangun Terbaik di dunia.
Menerusi kenyataan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang memaklumkan bahawa pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa malah ia juga mencerminkan kemajuan sebenar yang telah dicapai di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI di mana inovasi, keusahawanan dan teknologi menjadi pemacu kepada aspirasi ke arah sebuah ekonomi yang bernilai dan inklusif.
“Penyenaraian Kuala Lumpur dalam kedudukan 20 Ekosistem Startup Membangun Terbaik dunia merupakan pencapaian yang signifikan berbanding kedudukannya antara 21 hingga 30 bagi tempoh 2022 hingga 2024, sekali gus melambangkan momentum kukuh hasil daripada penyelarasan dasar dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan," katanya.
MOSTI dalam kenyataan sama memaklumkan, pencapaian itu mencerminkan hasil daripada pelaksanaan agenda inovasi nasional merangkumi program strategik pembangunan ekosistem syarikat pemula serta usaha mobilisasi modal yang kini menunjukkan impak jelas.
Menurut kenyataan itu, GSER yang diiktiraf sebagai analisis ekosistem syarikat pemula yang komprehensif di dunia telah menilai lebih daripada 300 bandar di lebih 100 negara dan menonjolkan perkembangan Kuala Lumpur dalam aspek prestasi, pembiayaan, pembangunan bakat serta capaian pasaran.
"Startup Genome memaklumkan, pembiayaan peringkat awal di Kuala Lumpur telah mencecah RM1.5 bilion (USD368 juta) dalam tempoh dua tahun setengah yang lepas iaitu peningkatan lebih 40 peratus berbanding laporan sebelumnya," jelas MOSTI.
Ini sekali gus mencerminkan tahap keyakinan pelabur yang semakin kukuh serta momentum pertumbuhan ekosistem yang memberangsangkan.
Kementerian itu menyebut, peningkatan kedudukan global ini disumbangkan oleh ekosistem inovasi yang semakin matang serta dicetuskan oleh visi dasar jangka panjang Malaysia yang berlandaskan Ekonomi MADANI hasil daripada dua strategi nasional iaitu Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) yang dilancarkan pada 2021 dan Pelan Tindakan KL20 yang diperkenal pada April 2024.