fb fb fb fb fb

Malaysia tegas tolak penjajahan, kekal amalkan dasar perdagangan terbuka – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Nikkei Forum Medini Johor 2025, di Johor Bahru / Foto Bernama

JOHOR BAHRU, 19 Jun – Malaysia tidak pernah menyokong, mengiktiraf mahupun berdiam diri terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan keamanan sejagat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau mengakui hubungan dagang dengan Amerika Syarikat (AS) tetap penting, memandangkan negara itu merupakan antara pelabur terbesar dan rakan dagang utama Malaysia, khususnya dalam sektor semikonduktor.

“Kami tidak takut untuk menyatakan pandangan kami mengenai pencerobohan dan penjajahan Israel di Gaza atau provokasi terhadap Iran. Kami berdiri teguh dan bersedia untuk menghadapi apa jua isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Nikkei Forum Medini Johor 2025, di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, walaupun Malaysia komited terhadap prinsip dan dasar luar yang berkecuali, tiada mana-mana pihak boleh menentukan hubungan luar negara ini, termasuk dengan Jepun, China atau Amerika Syarikat.

“Kita adalah negara perdagangan yang terbuka. Dasar luar kita mestilah melindungi kepentingan negara dan rakyat. Seperti yang diketahui, Amerika Syarikat masih merupakan rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia secara kumulatif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menegaskan Malaysia akan terus mengamalkan prinsip keterlibatan dan kerjasama menyeluruh dengan semua negara, sambil mengekalkan keutamaan terhadap kepentingan nasional, terutama dalam konteks rantau ASEAN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN