KUALA LUMPUR, 9 Julai -Malaysia akan terus berpegang kepada pendirian tegas dalam mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara dalam rundingan tarif timbal balik yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat.
Perkara itu ditegaskan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurut beliau, walaupun Malaysia terbuka kepada rundingan dan kerjasama perdagangan, prinsip utama seperti kepentingan nasional dan hak kedaulatan akan sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang perbincangan dua hala.
"Malaysia berunding dengan niat baik, ada tolak ansur, tetapi kami berpendirian teguh dalam perkara yang melibatkan kepentingan dan kedaulatan negara. Terdapat beberapa perkara yang kami tidak berkompromi."
"Rundingan sememangnya rumit. Namun, matlamat tetap jelas untuk memastikan akses pasaran eksport, memodenkan ekonomi dan melindungi mata pencarian Malaysia untuk jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjelaskan pendirian Malaysia serta langkah, susulan pengumuman terbaharu tarif oleh Amerika Syarikat di pejabatnya.
Jelasnya lagi, matlamat utama Malaysia adalah untuk memastikan akses pasaran eksport kekal terbuka, memodenkan ekonomi negara, dan melindungi mata pencarian rakyat.
Rundingan dijangka berterusan hingga tarikh akhir 1 Ogos depan.
Dalam tempoh itu juga, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan melakukan sesi libat urus dengan pelbagai Kementerian dan agensi bagi mendapatkan maklum balas dan persetujuan mereka mengenai pelbagai perkara
Ini termasuklah kedaulatan cukai digital, dasar perolehan kerajaan, dan piawaian pensijilan halal.