SEPANG, 28 September – Malaysia kekal dengan pendirian tegas terhadap platform media sosial antarabangsa dengan meneliti tren serta langkah pengawalan bagi mengekang penyebaran propaganda rejim Zionis di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan mengambil pendekatan proaktif termasuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat gergasi digital bagi menyuarakan kebimbangan berhubung kandungan yang tidak seimbang.
“Dalam pertemuan sebelum ini, kami nyatakan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Entiti seperti Meta juga mengakui bahawa Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan sebuah negara berdaulat berhak menyatakan pendirian, dan mereka akur dengan pandangan yang telah disampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang
Menurutnya, hasil penglibatan berterusan itu, platform digital kini lebih memahami pendirian Malaysia dalam isu Palestin. Pendekatan tersebut juga penting bagi memastikan rakyat tidak mudah dipengaruhi propaganda Israel menerusi media sosial.
Mengulas mengenai keselamatan 34 peserta Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla, Fahmi menegaskan kerajaan sentiasa memantau perkembangan serta memastikan kebajikan mereka terjamin.
“Ini kawasan perairan antarabangsa dan tidak ada sebarang sekatan yang wajar. Laluan flotilla itu adalah laluan bebas. Tindakan negara haram Israel memasuki perairan antarabangsa untuk menghalang pergerakan mereka adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang hak,” jelasnya.
Beliau pada masa sama menolak dakwaan tular kononnya flotilla berkenaan diserang, sebaliknya menyifatkan khabar angin itu sebagai sebahagian daripada propaganda rejim Zionis.