SHAH ALAM, 9 Oktober – Cadangan kerajaan untuk menganugerahkan lima biasiswa kepada rakyat Palestin bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan kejuruteraan radio merupakan sebahagian daripada usaha membantu pembangunan semula Gaza serta memperkukuh infrastruktur komunikasi di Palestin.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata peluang tersebut akan dibuka kepada rakyat Palestin di seluruh wilayah termasuk Gaza, Ramallah, Tebing Barat dan Nablus, dengan keutamaan diberikan kepada golongan muda yang berminat dalam bidang komunikasi dan teknologi.
“Kita percaya mereka merupakan satu bentuk pelaburan untuk masa depan Palestin yang lebih terangkum dari segi komunikasi dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena Hari Pos Sedunia 2025, di sini hari ini.
Menurut Datuk Fahmi, perbincangan awal telah diadakan dengan Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur bagi meneliti syarat-syarat pelaksanaan biasiswa berkenaan.
Beliau menjelaskan pihak kedutaan turut mencadangkan agar Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membantu membangunkan kelas pendidikan dalam talian bagi pelajar di Palestin.
“Walaupun banyak sekolah telah dibom, sekiranya mereka mempunyai peranti dan capaian internet, proses pembelajaran masih boleh diteruskan. Ini antara permintaan yang disampaikan oleh pihak Kedutaan Palestin,” jelas beliau.
Tambah Datuk Fahmi, inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen Malaysia untuk menyokong pembangunan semula Gaza serta memperkukuh keupayaan rakyat Palestin dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).