BANGI, 9 Oktober – Pendekatan bersepadu melibatkan penggunaan teknologi serta penglibatan komuniti akan menjadi tunjang utama dalam memperkasa kempen kebersihan persekitaran di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata sebanyak enam kempen utama kesihatan persekitaran akan dilaksanakan di peringkat nasional bagi membentuk budaya kebersihan yang menyeluruh dan berterusan.
Antara kempen berkenaan ialah Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih, Kempen Tandas Awam Bersih BMW, Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Cegah Wabak Denggi dan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar.
“Kita mahu pastikan kawasan persekitaran di seluruh negara sentiasa bersih dan bebas daripada risiko wabak penyakit. Itu adalah tanggungjawab dan kewajipan seluruh masyarakat.
"Menerusi kempen ini, kita bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat, tetapi juga membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai minda kelas pertama, daripada bangku sekolah hingga ke penghujung hayat. Apabila negara mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030, rakyat juga perlu mempunyai pemikiran kelas pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan 2025, bertemakan “Persekitaran Sejahtera, Masyarakat Harmoni, Negara MADANI”, di sini hari ini.
Menurut Nga, pendekatan kali ini tidak hanya bergantung kepada hebahan dan penguatkuasaan, sebaliknya turut memanfaatkan inovasi teknologi serta penyertaan aktif komuniti setempat.
Tambah beliau, aplikasi digital seperti PBTCare dan Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTa) kini digunakan secara meluas bagi memudahkan pemantauan dan pelaporan keadaan persekitaran oleh orang awam.
Pelaksanaan kempen tersebut turut disokong dengan peruntukan sebanyak RM860,000 daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), dengan fokus kepada intervensi berimpak segera serta komunikasi risiko yang berkesan.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM100 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi membina dan membaik pulih gerai serta pasar awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.