fb fb fb fb fb

Malaysia sokong pembangunan digitalisasi dan AI, perkukuh kedudukan ASEAN

Foto RTM

PUTRAJAYA, 22 Mei - Kerajaan akan terus menyokong pembangunan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab digital yang lebih kompetitif di peringkat serantau dan global.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini diiktiraf sebagai antara negara mempunyai dasar jelas serta kestabilan politik yang menjadi asas kepada pelaburan dan kemajuan digital.

“Tumpuan (sebagai) Pengerusi ASEAN adalah peralihan tenaga dan kita telah berjaya bersama Vietnam, Singapura dalam projek Grid Kuasa ASEAN tetapi fokus terbesar adalah transformasi digital."

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Operasi Syarikat Penyedia Teknologi Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) MaiStorage Technology, di Putrajaya.

Datuk Seri Anwar turut menyatakan, pelancaran syarikat tersebut membuktikan strategi utama Kerajaan Madani dalam pendigitalan bukan sekadar retorik.

“Negara jiran juga boleh berkongsi serta menyokong usaha ini kerana kita mahu ASEAN, bukan Malaysia sahaja, menjadi hab digital yang lebih kompetitif,” jelas Anwar.

Tambahnya, kejayaan Malaysia menarik pelaburan dalam sektor teknologi tinggi termasuk pusat data dan AI, membuktikan bahawa ekosistem digital negara berada di landasan yang kukuh.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya pelaksanaan dasar yang berkesan dan tadbir urus baik bagi memastikan hasil yang mampan.

“Cabaran terbesar kita adalah pelaksanaan yang berkesan. Sebab itu saya dan pasukan memberi tumpuan awal kepada soal tadbir urus. Dengan disiplin, dasar yang jelas dan pelaksanaan telus tanpa rasuah, kita boleh jadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dalam bidang AI dan digital,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI