fb fb fb fb fb

Malaysia setuju tingkat bantuan kewangan kepada UNRWA - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 23 Februari - Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka buat UNRWA.

Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perbualan telefon bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, pada Khamis.

"Selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini telah menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA, selain AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Anwar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdel Fattah kerana kemenangannya pada Pilihan Raya Mesir.

Atas sokongan berterusan daripada Kerajaan Mesir, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting dalam membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.

"Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin.

"Saat ini, beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang sedang dalam perjalanan ke Rafah bagi menyatakan sokongan kepada Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara kita ke Gaza.

"Alhamdulillah, Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah," katanya.

Anwar berkata, pada akhir perbualannya, kedua-dua mereka menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia-Mesir.

Ini bukan sahaja berkaitan isu Palestin malahan merangkumi soal perdagangan dan ekonomi untuk membawa persahabatan kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya juga jemput Presiden Sisi untuk berkunjung ke Malaysia," kata Anwar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN