fb fb fb fb fb

Perpaduan yang utuh, mendorong peningkatan ekonomi negeri

Foto Facebook Amirudin Shari

HULU SELANGOR, 23 Februari- Gagasan Rumpun Selangor menjadi payung dan kerangka dalam memperkukuh perpaduan sekali gus menjamin pembangunan sosioekonomi rakyat negeri itu. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perpaduan masyarakat yang utuh juga menjadi asas utama mendorong peningkatan ekonomi negeri yang dinikmati segenap lapisan rakyat.

"Rumpun Selangor ataupun RMS akan menjadi matlamat baharu untuk melahirkan semangat dan komuniti yang berjuang untuk nasionalisme Malaysia dan semangat ini penting untuk kita melahirkan komuniti dan generasi muda yang bermaruah, berwawasan, yakin dengan diri sendiri serta percaya dan yakin dengan diri. Yakin bahawa kita mampu menjadi satu komuniti besar dan rencam dan berupaya bersaing dengan negeri-negeri di luar sana untuk menjadi masyarakat contoh.

"Rumpun Selangor RMS dapat memberi suntikan  kepada semangat yang bakal melimpah ke seluruh negara bagi melahirkan semangat Nasionalisme Malaysia sebagai satu titik kebersamaan dan mengelakkan daripada masyarakat kita dijual maruahnya kepada kelompok tidak bertanggungjawab yang hanya akan menggugat kestabilan dan kedaulatan negara", katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Gagasan Rumpun Selangor daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor. 

Terdahulu, pada majlis itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melancarkan logo rasmi Gagasan Rumpun Selangor

Kerajaan Negeri berhasrat agar konsep dan pengisian Gagasan Rumpun Selangor ini dapat dihayati dan dipraktikkan oleh semua, demi mengekalkan keamanan Negeri Selangor.

ROSLINA BINTI DIN