IPOH, 23 Februari- Tatakelola yang baik diperlukan untuk membina keyakinan pelabur dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, negara tidak terkecuali berdepan cabaran landskap ekonomi global yang rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa-kuasa besar.
Baginda bertitiah Malaysia tidak terlepas daripada kesan negatif akibat peperangan Ukraine-Rusia serta konflik berpanjangan Palestin-Israel termasuk peperangan yang sedang berlaku di Gaza.
"Usaha-usaha kerajaan memberi tumpuan kepada sektor-sektor pertumbuhan baharu merupakan inisiatif strategik yang mampu meletakkan ekonomi negara lebih berdaya saing di peringkat global, mengatasi segala-galanya, amatlah penting untuk Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni", titah Sultan Nazrin.
Titah Baginda, negara yang stabil, aman dan harmoni berupaya membangunkan negara yang makmur dan melimpahkan kemakmuran negara untuk manfaat rakyat, selain membangunkan warga yang kuat dengan memiliki kematangan untuk menerima kelainan, perbezaan, berminda pintar, memilih menggabungkan kekuatan dan memilih untuk bersatu daripada berpecah.
Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Dewan Negeri Perak ke-15, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama di bawah pimpinan Mejar Mohd Nurul Hasan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division, Kem Sangro Taiping.