fb fb fb fb fb

Malaysia sentiasa terbuka bagi perniagaan

DUBAI, 13 Januari - Malaysia sentiasa terbuka bagi perniagaan walaupun sempadan negara mungkin sebahagian besarnya masih lagi ditutup.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun berdepan cabaran dalam tempoh pandemik ini, negara turut merebut peluang yang tersedia.

"Peluang untuk membina semula ekonomi dan masyarakat kepada keadaan yang lebih baik berbanding era sebelum pandemik COVID-19 adalah amat besar," katanya dalam Majlis Makan Tengah Hari Perangkaian Pemulihan Negara pada  Expo 2020 Dubai.

Muhyiddin berkata, tawaran nilai Malaysia kepada pelabur adalah padu dengan ekosistem pelaburan yang kukuh manakala kemudahan menjalankan perniagaan semakin bertambah baik dan negara kini berada di landasan pemulihan daripada pandemik.

“Selain itu, infrastruktur fizikal dan digital kami sentiasa dinaik taraf, kami juga memiliki tenaga kerja mahir yang besar, institusi yang kukuh, asas ekonomi yang lebih baik yang diiktiraf dunia.

Sebagai pengerusi MPN yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha pemulihan pasca pandemik, majlis ini akan merangka pelan tindakan yang dipanggil Pelan Pemulihan Negara 2.0, yang meneruskan strategi keluar daripada pandemik Pelan Pemulihan Negara sebelum ini dalam empat fasa yang dimuktamadkan pada Disember 2021,” katanya.

Justeru, beliau berharap lebih banyak perniagaan akan melabur di negara ini dan syarikat Malaysia meneroka peluang bukan sahaja di Emiriah Arab Bersatu (UAE), malah di seluruh Majlis Kerjasama Teluk. 

Media Baharu