AYER KEROH, 24 Jun- Malaysia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Billie Jean King Cup, Asian Oceania Group 2, yang akan berlangsung pada 24 hingga 29 Julai depan di Pusat Tenis Negara.
Setiausaha Kehormat Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim berkata, sebanyak 12 negara termasuk Malaysia akan terlibat dalam kejohanan tersebut.
LTAM menyasarkan untuk mencapai prestasi terbaik dan dinaikkan ke kumpulan 1 walaupun menerima saingan sengit negara-negara terlibat.
Antara negara yang tersenarai dalam kumpulan 2 adalah, New Zealand, Indonesia, Taipe, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Hong Kong, Turkmenistan, Pacific Oceania, Mongolia, Guam dan Malaysia.
"Untuk menjayakan pertandingan kali ini, kita juga mengambil pegawai yang bertauliah dan berpengalaman dari seluruh negara yang akan diketuai oleh Pengarah Pertandingan iaitu Shahizan Hasnan.
"Kita akan membantu penganjuran dan menyediakan lebih daripada 37 orang pegawai pertandingan dan juga 37 orang pegawai bola kanak-kanak dari Malaysia. Ia juga memberi peluang kepada atlet-atlet tenis dan juga pegawai kita untuk menyertai kejohanan ini secara rasmi," katanya pada Sidang Media di Kompleks Tenis Melaka.
Mengulas lanjut Muhammad Shahrul Hafidz berkata, pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B, manakala pemilihan rasmi akan diadakan pasa 23 Julai depan.
Pemilihan sebagai tuan rumah buat kali ke-2 merupakan satu penghargaan buat LTAM dan ia adalah satu usaha dalam mendedahkan atlet sukan negara ke peringkat antarabangsa.