(Datuk Seri Anwar pada pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep
Tayyip Erdogan di Turkish House di New York, hari ini)
NEW YORK, 21 September- Malaysia telah menyatakan kesediaannya untuk membeli peralatan ketenteraan dari Turkiye.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peralatan yang akan dibeli dari negara itu akan diputuskan Majlis Angkatan Tentera Malaysia.
"Sebelum ini ada peralatan ketenteraan yang telah dibeli daripada Korea Selatan. Kita mungkin lihat dron dan helikopter…lihat pengkhususan dan kepakaran Turkiye. Namun saya serahkan pada pihak tentera, mana yang terbaik,” kata Perdana Menteri selepas pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Turkish House di sini hari ini.
Katanya untuk tujuan itu, terserah kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dalam proses pembelian peralatan ketenteraan itu.
Anwar turut memaklumkan Erdogan juga telah menyatakan persetujuan beliau untuk melawat Malaysia pada bulan Disember depan.
Perdana Menteri kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.
(Perhimpunan Agung PBB berlangsung di ibu pejabat PBB di New York/ AFP)