KEPALA BATAS, 21 September - Bekalan beras putih tempatan dijangka kembali stabil di pasaran dalam tempoh sebulan.
Ini berikutan beberapa langkah intervensi yang dilaksanakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menampung bekalan tersebut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihak berkaitan juga bersetuju untuk memberi kerjasama dalam menjayakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) seluruh negara.

"Setakat ini pihak pemborong, pengilang dan semuanya bagi kerjasama untuk cukupkan beras itu dalam pasaran dan juga InsyaAllah beras kita ini akan kembali stabil dalam masa sebulan lagi.
"Tapi dalam masa sampai sebulan itu, kita akan cuba membuat intervensi, dimana berlaku kekurangan kita tampung melalui FAMA dan LPP," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di Pokok Sena, di sini pada Rabu.
Terdahulu, beliau melancarkan Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena, iaitu inisiatif di bawah seliaan LPP dalam PKBPT bagi tujuan pengedaran beras putih tempatan kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya.
Tambah Mohamad, kaedah intervensi itu pernah dilakukan ketika kekurangan bekalan ayam dan telur sebelum ini.