fb fb fb fb fb

Amizar Abu Adam diumum calon BN PRK DUN Pelangai

(Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam,
diumumkan sebagai calon BN/ BERNAMA)

BENTONG, 21 September- Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam  diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkannya di Dewan Majlis Daerah Bentong, malam tadi.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pemilihan Amizar dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Bagi saya ini merupakan satu contoh yang baik dan ini secara spontan pemangku Ketua Bahagian dan juga antara calon-calon yang disebut telah pun memberi ucapan dengan penuh semangat dan jelas menyampaikan mesejnya bahawa beliau meminta semua ahli-ahli UMNO akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti," katanya. 


(Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail)

Amizar, 53, pernah bertanding bagi kerusi DUN Kesulit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Su Keong Siong.

Beliau yang berasal dari FELDA Chemomoi dalam DUN Pelangai berkata akan cuba menterjemahkan mandat dan kepercayaan parti dalam bentuk kemenangan pada PRK Pelangai akan datang.

"Bahawasanya ini adalah amanah parti dan saya sebagai menyambung legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. Banyak.perkara-perkara akan dilaksana dan dirangka dan saya ingin terpanggil untuk menyambung legasi Allahyarham," katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.






Media Baharu