fb fb fb fb fb

Malaysia sedia bekerjasama, bawa keamanan ke Gaza

Penduduk Palestin bersorak gembira sebaik sahaja perjanjian damai dicapai / REUTERS

PUTRAJAYA, 9 Oktober -Malaysia menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa dalam usaha membawa keamanan ke Gaza serta wilayah Palestin.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat melaksanakan persetujuan damai berkenaan dengan segera.

"Malaysia turut menyambut baik persetujuan yang dicapai antara Hamas dan Israel bagi fasa pertama Pelan Komprehensif Menamatkan Konflik Gaza yang dikemukakan Presiden AS, Donald Trump di Mesir semalam.

Malaysia merakamkan penghargaan kepada Trump atas kepimpinan dan usaha beliau ke arah menamatkan perang di Gaza," menurut kenyataan itu.

Malaysia juga menghargai peranan penting Mesir, Qatar, Türkiye serta negara lain yang memudah cara pelaksanaan pelan damai tersebut.

Wisma Putra menyifatkan perkembangan ini sebagai langkah penting ke arah menamatkan pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan dan kebuluran di Gaza.

Malah inisiatif itu juga bakal menyaksikan pertukaran tawanan dan tahanan, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, pembinaan semula wilayah Gaza serta penzahiran hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN