KUALA LUMPUR, 2 Disember - Malaysia memainkan peranan penting dalam menghubungkan rantau ASEAN kepada pasaran global sebagai hab strategik di Asia Tenggara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedudukan utama Malaysia dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN melebihi US$3.6 trilion (RM16 trilion) dan penduduknya berjumlah lebih 680 juta orang menawarkan peluang yang besar untuk perniagaan yang ingin berkembang ke rantau ini.
“Bagi perusahaan China yang ingin memasuki rantau dinamik ini, Malaysia menawarkan pintu masuk yang ideal dengan lokasi strategik, infrastruktur yang kukuh dan tenaga kerja mahir.
“Melalui rangka kerja seperti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Malaysia dan China telah memupuk kerjasama yang lebih mendalam dalam pembangunan infrastruktur, perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis makan malam Gala meraikan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dan Persidangan Persatuan Presiden Dunia Kelima (WAPC Kelima) di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata BRI telah membolehkan Malaysia meletakkan dirinya sebagai fasilitator utama yang menghubungkan ASEAN, khususnya dalam sektor baru muncul seperti tenaga hijau, ekonomi digital dan pembangunan mampan.
“Visi bersama kita untuk masa depan termasuk memanfaatkan bidang-bidang pertumbuhan tinggi ini bagi mencipta pekerjaan, memacu inovasi dan meningkatkan kesalinghubungan serantau sambil terus mengukuhkan peranan kita sebagai hab ASEAN,” katanya.
Beliau berkata Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan China dan komuniti global bagi memupuk inovasi, memacu pertumbuhan mampan dan menangani cabaran.
Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama dalam mewujudkan masa depan yang makmur, inklusif dan berdaya tahan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan China menjangkau lebih jauh melebihi perdagangan, dengan pendidikan muncul sebagai asas bagi perkongsian berkenaan.
Beliau berkata sebagai mengiktiraf kerjasama pendidikan yang semakin meningkat, Malaysia telah diberikan 5,125 penempatan oleh China untuk pelajar Malaysia menyertai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), satu inisiatif yang menurut Ahmad Zahid akan membantu melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
"Inisiatif seumpama ini bukan sahaja melengkapkan generasi muda kita dengan kemahiran untuk menghadapi cabaran masa depan, tetapi juga memupuk pertukaran budaya dan akademik antara negara kita, mewujudkan jaringan persefahaman bersama dan saling hormat menghormati," katanya.
Terdahulu, beliau melancarkan buku meja kopi bertajuk Mekar dan Berbuah sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China.
Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan dan Pengerusi WAPC Kelima dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - BERNAMA