fb fb fb fb fb

Malaysia sasar kedudukan 20 ekonomi AI teratas dunia pada 2030

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Chang Lih Kang /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) melalui pelancaran MRANTI AI Connect 2025, forum inovasi AI kebangsaan dan inisiatif di bawah National Technology and Innovation Sandbox (NTIS).

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, AI bukan lagi sekadar teknologi, tetapi keperluan negara bagi menjamin masa depan ekonomi Malaysia.

“Melalui Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan (AI) Nasional 2021–2025, inisiatif ini dijangka merealisasikan visi untuk menempatkan Malaysia dalam 20 ekonomi AI teratas dunia menjelang 2030, serta menyumbang lebih RM60 bilion kepada ekonomi negara." katanya ketika merasmikan MRANTI AI Connect 2025 hari ini di sini.

Forum itu turut menghimpunkan pemimpin industri, pelabur, gergasi teknologi global, serta bakat tempatan untuk membincangkan hala tuju pembangunan AI negara.

Menurut Chang, kerajaan komited membina ekosistem AI yang inklusif, selamat, dan berdaya tahan, agar manfaat inovasi teknologi dapat dikongsi bersama semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia.

“AI bukan sekadar meningkatkan produktiviti, tetapi juga membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk belia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"AI mesti berkhidmat kepada rakyat, memperkasakan, bukan menggantikan mereka, dan mencerminkan nilai serta aspirasi Malaysia.” jelasnya.

Forum MRANTI AI Connect 2025 menekankan komitmen Malaysia membangunkan AI secara beretika, inklusif, dan bertanggungjawab, sekaligus memperkukuh aspirasi Malaysia sebagai hab inovasi serantau, bukan sekadar pengguna, tetapi juga peneraju dan pengeksport teknologi AI buatan tempatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD