KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasa tadbir urus yang lebih baik serta memastikan transformasi digital memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerangka Negara AI digariskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi tersebut.
“Terdapat lima tonggak kukuh dalam kerangka negara AI iaitu polisi melangkah ke hadapan, tenaga kerja yang tangkas dan fasih secara digital, infrastruktur digital yang boleh dipercayai dan selamat, kepercayaan terhadap kemajuan digital serta pelaburan strategik.
"Kesemua tonggak ini akan memacu Kerangka Ekonomi MADANI yang menjadikan AI maju, inklusif, dipercayai dan dibangunkan dengan tujuan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sidang AI ASEAN di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Datuk Seri Anwar menegaskan, visi negara mengenai AI bukan sekadar mahu setanding dengan negara lain, malah berhasrat menerajui beberapa bidang dalam teknologi tersebut.
“AI boleh merapatkan jurang pembangunan, memperkasa perniagaan kecil, memartabatkan komuniti luar bandar, memperkasa perkhidmatan awam dan memperluaskan akses dalam kesihatan dan pendidikan. Paling penting adalah memberi keadilan kepada semua.
"Visi AI kita bukan sekadar memanfaatkan AI untuk setanding dengan negara lain, malah menerajui beberapa bidang dalam AI,” katanya.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan secara rasmi ILMU, model bahasa besar multimodal (LLM) AI Malaysia yang dibangunkan oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya.