fb fb fb fb fb

Bulan Kebangsaan perkukuh patriotisme warga pendidikan

Perhimpunan Bulanan dan Peluncuran Sambutan Bulan Kemerdekaan Tahun 2025 Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Perlis

KANGAR, 12 Ogos - Semua pihak perlu menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan sebagai medan memperkukuh semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan warga pendidikan.

Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, ia dilihat sebagai medium membina masyarakat harmoni, saling menghormati dan prihatin terhadap kesejahteraan semua.

"Dalam konteks pendidikan ia bermaksud seseorang pendidik perlu mendidik generasi yang merdeka fikirannya, tinggi nilai moralnya, berdaya saing dan cinta akan tanah air.

"Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi membina masyarakat yang harmoni, saling menghormati dan prihatin terhadap kesejahteraan semua," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan dan Peluncuran Sambutan Bulan Kemerdekaan Tahun 2025 Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Perlis, di sini.

Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan, Jabatan Pendidikan Negeri turut menganjurkan Pertandingan Sudut Kemerdekaan bagi setiap sektor di JPN Perlis bermula hari ini sehingga 16 September 2025 bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga jabatan.

Setiap sektor diharap dapat menampilkan kreativiti, menggabungkan elemen sejarah, seni, teknologi dan mesej perpaduan agar menjadi inspirasi kepada semua.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI