fb fb fb fb fb

Malaysia sasar jadi hab gas serantau, Pelan Hala Tuju Gas Asli bakal dilancar

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli ditemui pemberita selepas menghadiri Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2025)

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Kementerian Ekonomi bakal melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Asli tahun ini bagi memperkukuh bekalan tenaga negara dalam jangka panjang.

Menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pelan ini akan menetapkan pendirian kerajaan, mengatasi halangan industri, serta membuka peluang untuk pembangunan infrastruktur gas yang mampan.

"Menerusi pelan hala tuju ini, kami ingin merangsang pelaburan dalam industri supaya dapat mengukuhkan sumbangan gas asli sebanyak RM52 bilion kepada KDNK.

"Dengan memperluas terminal regasifikasi dan saluran paip, kami berharap dapat meningkatkan jumlah pekerjaan teknikal serta mengekalkan impak sosioekonomi industri ini," katanya.

Tambah beliau, langkah itu penting memandangkan pasaran gas global tidak stabil dengan harga gas berbeza mengikut rantau.

Beliau berkata demikian pada Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2025).

ASEAN dijangka menjadi pengimport bersih gas asli cecair dalam tempoh dua tahun, sekali gus menimbulkan risiko tenaga serantau.

Bagaimanapun, jelas beliau Malaysia berpotensi menjadi hab gas utama di rantau dengan memanfaatkan kedudukan strategik serta infrastruktur sedia ada.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE