fb fb fb fb fb

Malaysia sambut baik resolusi Gaza

FOTO REUTERS

PUTRAJAYA, 26 Mac - Malaysia menyambut baik Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2728 (2024) mengenai Gaza pada Isnin, menuntut gencatan senjata serta-merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata Malaysia juga menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memastikan Israel memenuhi tanggungjawabnya bawah undang-undang antarabangsa dan menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Malaysia berpandangan penerimaan resolusi itu merupakan satu kejayaan besar memandangkan konflik di Gaza bermula lebih lima bulan yang lepas.

"Malaysia telah sekian lama menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan bagi melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman Israel yang sehingga kini telah meragut nyawa lebih 32,000 orang awam," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, sekatan sempadan rejim Israel telah mengakibatkan risiko kebuluran dan malnutrisi bagi 2.3 juta penduduk di Gaza.

Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan supaya Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB, menurut kenyataan itu.

UNSC meluluskan resolusi menuntut "gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, dihormati oleh semua pihak sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang berkekalan."

Resolusi itu juga menuntut "pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dan memastikan akses untuk mereka mendapatkan keperluan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain."

TETITIA YUSOFF