KAZAN, 19 Mei- Malaysia dan Rusia sepakat untuk mewujudkan perjanjian usahasama dalam sektor pengajian tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi memudahkan usaha akreditasi program-program yang ditawarkan universiti kedua-dua negara.
Kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat dua hala bersama Timbalan Menteri Sains dan Pengajian Tinggi Rusia, Ayrat Gatiyatov sempena Forum Kazan 2023.
"Dengan demikian jika kita dapat jayakan perkara itu melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan agensi kelayakan Rusia, maka ia akan memudahkan proses untuk mereka menghantar lebih ramai pelajar untuk belajar di Malaysia.
"Perkara ini sesuatu yang kita tekankan kepada Rusia, kerana kita memang telah hantar ramai pelajar dan penyelidik ke sana dan kita harap perkara sama akan dilakukan negara itu. Jadi ini antara perkara-perkara yang telah kita capai melalui forum di Kazan ini," katanya.
Beliau kemudian menyaksikan majlis tandatangan perjanjian persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia dan Institute of Biomedical Chemistry (IBMC) Rusia, St. Petersburg Electrotechnical University dan St. Petersburg HSE University.
(Mohamed Khaled Nordin)
Khaled kemudian menyampaikan ucaptama pada sidang bertajuk Kerjasama dalam Sains dan Pengajian Tinggi bersama negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Dalam ucapannya, beliau menegaskan agar OIC perlu mewujudkan lebih banyak peluang untuk kolaborasi saintifik, membina kemudahan untuk menggalakkan inovasi serta meningkatkan dana dalam penyelidikan dan pembangunan.
Ia boleh dicapai menerusi projek kerjasama antarabangsa pada skala global disertai organisasi antarabangsa, sektor perniagaan dan pakar-pakar dalam pertubuhan tersebut.
Sementara itu, Khaled menyatakan kesediaan Malaysia dalam membantu Republik Tatarstan membangunkan keupayaannya dalam sektor pendidikan.
Ini terutamanya dalam bidang halal serta sektor perbankan dan kewangan Islam.
"Kita mempunyai kekuatan dalam soal ini di mana antara universiti kita yang utama menerajui soal halal, perbankan, sistem perbankan serta kewangan islam adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
"Pihak presiden menyambut baik perkara itu kerana memang mahu membangunkan keupayaan dalam bidang halal dan juga sektor perbankan serta kewangan Islam."
Hasrat itu disuarakan Presiden Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov dalam sesi kunjungan hormat sempena Forum Kazan kali ke-14 bertemakan Rusia dan Dunia Islam.
Tambahnya, republik itu berpotensi menjadi penghubung bagi meneroka peluang dalam sektor pendidikan tinggi di Rusia, terutama membabitkan wilayah Islam.