fb fb fb fb fb

Malaysia rekod lebih 15,000 pelancong Turkiye pada Jan-Nov 2023

Foto Facebook MOTAC

SEPANG, 10 Februari- Malaysia menerima kemasukan 15,623 pelancong Turkiye bagi tempoh Januari hingga November 2023.

Jumlah berkenaan bersamaan kenaikan 10.8 peratus berbanding 14,096 pengunjung dicatat sebelum pandemik COVID-19 pada 2019.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman yakin jumlah tersebut mampu melonjak lebih tinggi disokong aktiviti kempen dan promosi.

Kedatangan pelancong keseluruhannya juga dijangka bertambah menjelang Kepengerusian ASEAN pada 2025, selain kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Datuk Roslan ditemui media selepas majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung pesawat Batik Air dari Istanbul ke Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Pesawat OD724, model Airbus A330-300, tiba di Terminal 1, KLIA, pukul 3.57 petang membawa 90 penumpang.

Batik Air menawarkan empat penerbangan seminggu ke Istanbul, menghubungkan KLIA, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen yang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

ROSLINA BINTI DIN