fb fb fb fb fb

Malaysia rancang jadi tuan rumah Simposium Haji

MEKAH, 21 Jun- Malaysia merancang menjadi tuan rumah bagi penganjuran Simposium Haji pada masa akan datang, ia bagi memudahkan penyertaan daripada pemain industri serta negara-negara minoriti Islam.

Selain itu, simposium yang memasuki edisi ke-47 tersebut sebelum ini hanya dianjurkan di Arab Saudi dan sukar disertai negara lain di rantau Asia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, "cadangan itu akan disuarakan kepada Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Al Rabiah dalam tempoh terdekat."

Beliau berharap hasrat tersebut boleh dilaksanakan selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi.

"Jadi ia agak mudah bagi pemain industri haji dan umrah untuk datang berbanding ke sini kerana jarak yang jauh. Sekiranya datang, mungkin cuma buat haji dan umrah.

"Tapi kalau boleh bawa ke sini, industri bagi kawasan setempat boleh datang Malaysia. Kita akan ketuai dan boleh mempelajari selain boleh ditambah baik perkara-perkara lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Haji di Jeddah, Arab Saudi yang dipengerusikan Imam Masjidil Haram, Abdur Rahman AL-Sudais.

Beliau dan isteri Datin Nik Roslini Raja Ismail sebelum itu tiba di Mekah, awal pagi semalam bersama 283 jemaah haji Malaysia melalui penerbangan KT108.

Simposium tahunan itu bertujuan bagi berkongsi operasi haji yang dikendalikan kerajaan Arab Saudi, khususnya inovasi dalam bentuk teknologi untuk kemudahan jemaah di Mekah dan Madinah.

(Dr Mohd Na’im Mokhtar)

Media Baharu