fb fb fb fb fb

Malaysia, Qatar zahirkan pendirian untuk keamanan di Palestin

PUTRAJAYA, 12 Ogos- Malaysia dan Qatar komited untuk meneruskan bantuan kepada Palestin dan Afghanistan susulan kemelut yang melanda di kedua-dua negara itu.

Komitmen itu dizahirkan hasil pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani di Wisma Putra.

Malaysia - Qatar juga berpendirian sama untuk melihat dunia yang aman, bebas daripada sebarang bentuk keganasan.

"Mengenai insiden pengeboman yang berlaku di Gaza oleh Israel, kami juga bersetuju untuk bekerjasama untuk mengingatkan isu kemanusiaan yang berlaku di Afghanistan dan beberapa kawasan lain. Secara keseluruhannya, Qatar dan Malaysia berada di landasan sama berhubung isu ini," kata Saifuddin dalam sidang media hari ini di Putrajaya.

Perkara sama turut dizahirkan Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani dalam sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup di Putrajaya.

"Kami amat mengambil berat mengenai kawasan yang berdepan krisis kemanusiaan terutaa di Gaza, Palestin. Kami juga mengalu-alukan bekerjasama dalam memberi bantuan kemanusiaan di sana," tambah Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani kepada media.

Pertemuan itu merupakan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar pada Mac lalu dan juga sebagai persiapan awal lawatan negara oleh Amir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke Malaysia pada 2023.


(Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani mengadakan sidang media di Wisma Putra, hari ini)

Media Baharu