fb fb fb fb fb

Dua suspek serang sekolah tahfiz, direman

JERANTUT, 12 Ogos- Dua daripada lima suspek yang menyerang serta mencederakan seorang ustaz dan seorang pelajar di pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Lipis, pada pukul 5.10 petang, semalam, berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata suspek ditahan dalam satu serbuan di kawasan Damak, Jerantut dan kini direman selama empat hari sehingga 12 Ogos ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berjaya diberkas itu berusia 30-an dan mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

"Hasil ujian awal, kedua-dua suspek yang diberkas positif dadah jenis Methamphetamine, kini ditahan di Balai Polis Kuala Lipis dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga lagi suspek yang masih bebas telah dikenal pasti identitinya dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang dijalankan," kata Superintenden Azli dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang ustaz yang ditugaskan menjaga pusat itu, Zulhafiz Mohd Rasid cedera di mata sebelah kanan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan manakala seorang pelajar yang turut diserang mengalami kecederaan dan sakit badan.

Kejadian berlaku apabila kesemua lima suspek termasuk seorang pelajar telah pergi ke pusat tahfiz berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Isuzu dan tiga orang daripadanya turun menyerang dua mangsa tersebut.

Punca serangan terhadap ustaz terbabit dipercayai disebabkan tidak berpuas hati berkaitan pembayaran makanan di pusat pengajian itu.


(Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor/Fail)

Media Baharu