KOTA BHARU, 12 Ogos- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sudah mengambil tindakan serta-merta berhubung insiden keselamatan siber membabitkan penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian, iPay88.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan Cyber Security Malaysia (CSM) yang mengadakan pertemuan dengan pihak iPay88 pagi tadi.
Berdasarkan maklumat yang diterima oleh iPay88, perkara tersebut masih dalam siasatan vendor iPay88 iaitu SISA.
SISA yang berpangkalan di Singapura juga sudah mengenal pasti jenis ancaman iaitu menggunakan ‘Cobalt Strike’.
"Server (stor data) yang dikatakan terkesan itu telahpun ditutup bagi tujuan "imaging and preservation". Kita kena tunggu dapatan selanjutnya dari iPay88 dan mereka perlu memberikan laporan kemaskini daripada penyiasatan mereka kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (PDP). Jadi, kita telah mengambil tindakan segera sebaik sahaja kita mengetahui perkara itu," kata Annuar kepada media selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar premis perniagaan di Kok Lanas, Kota Bharu.
Media sebelum ini melaporkan iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.
Dalam kenyataan, iPay88 dilaporkan berkata sejak 31 Mei lalu, ia sudah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu berkenaan.
Kenyataan itu turut menjelaskan siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak lain yang berkaitan berhubung pelanggaran keselamatan itu.
Mengulas lanjut, Tan Sri Annuar berkata berhubung kebocoran data peribadi pengguna, mengikut pihak iPay88, perkara itu masih belum dapat disahkan kerana siasatan masih berjalan.
Bahagian teknikal iPay88 memaklumkan pelayan yang diserang tidak menyimpan data peribadi pengguna kerana data peribadi itu disimpan dalam pelayan berasingan.
(Tan Sri Annuar Musa sempat meluangkan masa beramah mesra dengan
pekerja premis perniagaan di Kok Lanas, Kota Bharu)
Sementara itu, Tan Sri Annuar turut memaklumkan K-KOMM berhasrat untuk memperkenalkan satu aplikasi khas yang akan digunakan dalam telefon bimbit bagi mengekang kegiatan penggodaman.
Jelas beliau, aplikasi keselamatan itu sudah ditemui dan telahpun digunakan oleh sebuah negara di Eropah.
"Saya juga sedang meminta supaya Cyber Security Malaysia (CSM) membuat kajian spesifik berhubung aplikasi ini kerana masih ada beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum dilancarkan kepada rakyat di negara ini," tambahnya.
Ketika ditanya adakah aplikasi yang bakal diperkenalkan itu berbayar, beliau memaklumkan perkara itu masih dalam penelitian.
Sekiranya ia berbayar, kerajaan akan pastikan harga yang dikenakan adalah berpatutan dan tidak membebankan bagi membolehkan ia dapat digunakan secara meluas oleh pengguna.