fb fb fb fb fb

Kastam rampas minuman keras bernilai RM1.2 juta

(Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan penyeludupan minuman keras belum
lulus kastam di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang baru-baru ini/ Foto BERNAMA)

DENGKIL, 13 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan aktiviti sindiket penyeludupan minuman keras yang belum lulus kastam di Pelabuhan Klang pada 2 Ogos lalu.

Hasil serbuan sebanyak 66,000 botol dan tin telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dan kenderaan bernilai kira-kira RM1.2 juta.

Jelas Penolong Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan JKDM, Fazilah Ariff, modus operandi sindiket itu adalah untuk memasarkan arak tersebut ke pasaran tempatan dan tiada tangkapan berjaya dibuat semasa serbuan.

"Tiada sebarang dokumen import ditemui bersama barang yang disita,namun siasatan sedang giat dibuat untuk mengesan dalang di sebalik penyeludupan ini, diyakini petualang ekonomi negara ini bakal ditangkap dalam tempoh terdekat," kata beliau dalam sidang media di sini.

 
(Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan penyeludupan minuman keras belum
lulus kastam di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang baru-baru ini/ Foto BERNAMA)

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam atau bahan larangan  memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan memiliki barang yang duti eksais belum dibayar di bawah Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti eksais atau RM50,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Media Baharu