fb fb fb fb fb

Malaysia peroleh RM158.7 juta selepas sertai Marche Du Film, Cannes

(Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bersama delegasi
Malaysia di Cannes, Perancis/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 29 Jun- Penyertaan delegasi Malaysia dalam pasaran filem antarabangsa terbesar dunia, Marche Du Film, di Cannes, Perancis bulan lepas membuahkan hasil memberangsangkan.

Menerusi penyertaan itu negara berjaya memperoleh hasil nilai jualan keseluruhan sebanyak RM158.7 juta.

Ia melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM50 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata nilai jualan itu merangkumi potensi jualan dan jualan yang telah dimuktamadkan.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar penggiat industri filem seperti pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 hingga 25 Mei lepas.

(Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa/BERNAMA)

Delegasi Malaysia terdiri daripada agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaku urusetia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan dan 13 syarikat tempatan merangkumi penerbit filem, pembekal khidmat produksi, penyelia fasiliti penggambaran dan syarikat animasi turut mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka dengan syarikat serta badan terkemuka dunia seperti Warner Brothers, Sony Pictures, Netflix, BBC dan Canal+.

"Bagi mengetahui cara dan pendekatan terbaik untuk produk kandungan Malaysia mendapat pengiktirafan di festival atau pasaran antarabangsa, delegasi turut bertemu penganjur festival dan pasaran filem antarabangsa seperti Marche Du Film, Busan Film Festival, Udine Film Festival, FOCUS Location Expo dan American Film Market," katanya.

Media Baharu