KUALA LUMPUR, 16 September – Malaysia mesti terus menjadi contoh kepimpinan berwibawa di rantau ini dan di peringkat antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian sempena Hari Malaysia yang disambut hari ini.
Datuk Seri Anwar menegaskan kekuatan negara berakar daripada rakyat yang menyemarakkan nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti, selain didukung institusi kenegaraan serta pentadbiran yang berwibawa.
“Negara ini ditegakkan dengan darah, keringat dan air mata generasi terdahulu yang menyalakan obor kebebasan.
"Walhasil, amanah yang dipikul kita hari ini adalah dalam memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan kita menempuh tantangan di era baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September mengingatkan rakyat kepada lembaran sejarah penyatuan wilayah berbeza latar dan budaya ke dalam cita nasional bernama Malaysia.
Katanya, Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai tanah yang adil, makmur dan madani yang diwariskan kepada anak cucu sebagai negara bangsa yang teguh dan bermaruah.
Tegas beliau, semangat perpaduan itu adalah tekad leluhur yang menolak penjajahan, menentang penyimpangan serta menjunjung maruah bangsa dalam sebuah kesatuan yang rencam namun tetap berpadu.
“Marilah kita menzahirkan Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam serta komitmen pada kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan, menjauhi perpecahan dan memperlihatkan Malaysia sebagai tanah adil, makmur dan madani,” katanya.