fb fb fb fb fb

Lebih 100 penduduk Taman Lucky sertai Malaysia Day Walk

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September - Lebih 100 penduduk Taman Lucky, Bangsar menyertai program ‘Malaysia Day Walk’ sempena sambutan Hari Malaysia.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lucky, K. Sarikha berkata, program tahunan itu bertujuan memupuk perpaduan dan mengeratkan kerjasama dalam kalangan masyarakat majmuk.

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif bagi menggalakkan penglibatan inklusif penduduk selain menyemai semangat patriotisme.

"Hari Malaysia ini, ramai tidak tahu bagaimana kita hendak meraikan sambutannya. Jika Hari Kebangsaan, mereka tahu ada perarakan.

"Jadi, aktiviti berjalan sambil mengibarkan bendera Malaysia ini menyemarakkan semangat cintakan negara dengan begitu tinggi," katanya.

Terdahulu, para peserta berkumpul seawal 6.45 pagi di Jalan Tempinis 5 sebelum berjalan sejauh lebih tiga kilometer hingga ke lokasi penamat di Kebun-Kebun Bangsar pada 8.15 pagi.

Program itu turut disertai pelbagai lapisan masyarakat serta wakil agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Program tersebut turut dianjurkan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Lucky, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Lembah Pantai - Sub Zon 2 dan pertubuhan bukan kerajaan Ismaili Civic.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE