KUALA LUMPUR, 16 September - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan ucapan selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-92 kepada seluruh warga pasukan beruniform itu.
Seri Paduka Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti serta pengorbanan para pegawai dan anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
"Sebagai Pemerintah Tertinggi ATM, Seri Paduka turut mendoakan agar seluruh warga tentera sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang tinggi dalam melaksanakan amanah demi tanah air tercinta," titah baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini.
Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada pesara ATM yang pernah mencurahkan sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada pasukan pertahanan negara.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah baginda.