PUTRAJAYA, 1 Julai - Malaysia kini giat memperkukuh pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030, yang dijadual dibentangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata strategi itu merupakan satu pelan tindakan strategik bagi memperkukuh daya tahan kolektif serantau dalam menghadapi cabaran keselamatan siber di era digital yang semakin mencabar.
Beliau berkata, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini negara telah meletakkan keselamatan siber sebagai teras utama agenda serantau.
"Untuk menangani isu ini, saya menyeru agar Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 memberi tumpuan khusus kepada kerjasama masa nyata antara negara-negara anggota khususnya dalam maklum balas insiden, forensik digital, pertukaran data yang selamat dan penyelarasan dasar.
"Mekanisme ini mesti menjunjung prinsip kerahsiaan, kedaulatan dan kepercayaan bersama yang penting dalam menangani ancaman siber yang sensitif dan rentas sempadan," beliau berucap ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025, di sini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya turut menegaskan, Malaysia serius dalam isu keselamatan siber yang mana negara turut melabur serta menggubal undang-undang.
"Dan yang paling penting, kita bekerjasama merentasi agensi, industri dan sempadan," ujarnya.
Beliau turut mendedahkan, Pusat Penyelarasan dan Arahan Siber Negara (NC4) telah merekodkan sebanyak 4,626 insiden keselamatan siber pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam separuh pertama tahun ini sahaja, sebanyak 294 insiden telah dilaporkan, termasuk 133 insiden melibatkan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
"Angka ini menekankan betapa pentingnya untuk memperkukuh tahap kebersihan siber dan kesedaran digital negara. Apabila ancaman menjadi lebih canggih, kesiapsiagaan dan tingkah laku digital yang bertanggungjawab bukan lagi pilihan, ia adalah barisan pertahanan pertama kita," katanya lagi.