KUALA LUMPUR, 27 Mei – Malaysia mengukuhkan peranannya sebagai hab strategik pelaburan rantau melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025 yang berlangsung hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengetuai beberapa pertemuan penting yang menzahirkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam memperkukuh diplomasi ekonomi serantau.
Dalam satu kenyataan media, beliau menekankan bahawa sidang ini merupakan manifestasi kesungguhan Malaysia dalam memacu kerjasama ekonomi yang inklusif, berpandangan jauh dan berteraskan kepentingan rakyat.
Antara sorotan utama sidang ialah pertemuan dua hala bersama delegasi China, merangkumi Guangzhou Industrial Holdings Group (GIIHG) dan China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT).
Termasuk sesi bersama pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), serta Dewan Perniagaan dan Industri Qatar.
“Fokus utama perbincangan melibatkan sektor-sektor strategik seperti logistik, industri halal, teknologi kecerdasan buatan (AI), automotif dan tenaga hijau yang menjadi pemacu ekonomi masa depan,” jelas beliau.
Datuk Seri Ahmad Zahid turut mempengerusikan sesi libat urus antara wakil kerajaan Malaysia dan komuniti perniagaan dari Arab Saudi serta China bagi meneroka peluang peluasan pelaburan dua hala.
Malaysia digambarkan sebagai pintu masuk utama syarikat-syarikat GCC dan China ke dalam pasaran ASEAN yang kini mencecah lebih 680 juta penduduk dengan KDNK gabungan melebihi AS$3.6 trilion.
“Sidang ini membuktikan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap kestabilan ekonomi rantau ASEAN. Malaysia bukan sekadar tuan rumah, tetapi tampil sebagai pemimpin serantau yang bersedia memacu pertumbuhan bersama,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa jalinan kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi bernilai tinggi serta peluasan rangkaian perdagangan serantau dan global.
“Insya-Allah, hasil daripada sidang ini akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan utama ASEAN yang dinamik, progresif dan mampan,” kata beliau mengakhiri kenyataan.