KUALA LUMPUR, 27 Mei- Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 melakar pencapaian penting menerusi pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur ‘ASEAN 2045: Our Shared Future (Masa Depan Bersama)’ yang menjadi visi strategik jangka panjang bagi memacu komuniti ASEAN secara menyeluruh.
Menurut Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin penekanan terhadap keseragaman pemikiran algoritma dalam kalangan negara anggota ASEAN adalah penting bagi membentuk identiti serantau yang bersatu dan berdaya saing.
"Memastikan keseragaman pemikiran algoritma ASEAN khususnya bagi mendidik dan membentuk ASEAN serta masyarakat-masyarakat ASEAN termasuk penduduk-penduduk negara-negara ASEAN bersatu padu membimbing dan membawa Asia dalam satu bentuk identiti yang boleh memberikan satu bentuk kolaboratif yang baik iaitu kerjasama multilateral bukan hanya dalam kalangan pemimpin ASEAN, malah dalam kalangan penduduk ASEAN", katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Deklarasi itu turut menyentuh pembangunan ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta tadbir urus yang mampan. Ini dijangka menjadi pemacu ke arah peradaban digital ASEAN yang baharu.
Tambah Dr Noor Nirwandy, deklarasi ini dijangka menjadi penanda aras strategik dalam membina masa depan rantau yang lebih stabil, berdaulat dan berdaya tahan, sekali gus memastikan ASEAN terus kekal sebagai kuasa utama di rantau ini.