KUALA LUMPUR, 6 Julai- Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama bilateral dengan negara-negara anggota ASEAN dalam mempromosikan sektor pelancongan rantau ini pascapandemik COVID-19.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, negara-negara ASEAN sentiasa menjadi penyumbang tertinggi kepada kemasukan pelancong antarabangsa ke negara ini.
Pada 2019, jumlah kemasukan pelancong dari negara ASEAN adalah lebih 17.8 juta pelancong iaitu 68.5% daripada jumlah keseluruhan pelancong antarabangsa.
Walaupun sempadan negara ditutup pada 2020 dan 2021, peratusan tersebut tidak banyak berubah iaitu pada kadar 68%.
(Datuk Seri Nancy Shukri)
"Sebab itu kami mempunyai pegawai Tourism Malaysia yang amat berdedikasi yang berpangkalan di Singapura, Bangkok, Brunei, Jakarta, Medan, Manila, Bandar Ho Chi Minh, Vientiane dan Phnom Penh yang sudah berusaha keras untuk mempromosikan Malaysia di negara-negara tersebut sejak sebelum pengumuman pembukaan sempadan antarabangsa.
"Dalam masa sama, ramai rakyat Malaysia yang melancong intra-ASEAN, disebabkan faktor jarak yang dekat dan lebih dikenali serta selamat" kata beliau dalam ucapannya dalam sesi minum petang bersama duta-duta dan Pesuruhjaya Tinggi dari negara-negara ASEAN di ibu negara.
Program julung kali diadakan itu menghimpunkan 9 Duta dan Pesuruhjaya Tinggi dari negara-negara ASEAN bagi membincangkan perkembangan sektor pelancongan rantau Asia Tenggara.
Tambahnya, dalam konteks Malaysia, pihak kementerian sedang bekerjasama rapat dengan industri pelancongan tempatan untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP) yang sudah berjaya menarik lebih 1 juta pelancong luar.
Kerajaan juga sudah meningkatkan sasaran jumlah pelancong antarabangsa kepada 4.5 juta tahun ini berdasarkan pencapaian yang diraih.