fb fb fb fb fb

KPN peruntuk lebih RM13 juta biaya pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40

PUTRAJAYA, 6 Julai- Geran lebih RM13 juta diperuntukkan bagi membiayai pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40 yang berumur antara 4 hingga 6 tahun.

Ianya akan memberi manfaat kepada 5,164 kanak-kanak dan ibu bapa masyarakat India B40 meliputi pembiayaan yuran pendidikan bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 mulai Mac 2022 sehingga Februari 2023.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah binti Mohamed Sadique dalam kenyataan media memaklumkan, geran melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) tersebut akan disalurkan ke lima organisasi melibatkan 214 prasekolah di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.

Selain pembiayaan yuran persekolahan, bantuan berkenaan juga meliputi pemberian buku dan lembaran kerja, starter kit (pakaian seragam dan alat tulis) serta subsidi bagi penyediaan sarapan untuk kanak-kanak B40 berkenaan.

(Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah binti Mohamed Sadique)

Bantuan yang diberikan ini bertujuan memastikan kanak-kanak India B40 turut mendapat peluang mengikuti pendidikan prasekolah sebagai persediaan untuk memasuki pendidikan formal darjah satu kelak.

Dalam masa sama, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa ini.

Ianya menepati Aspirasi Keluarga Malaysia yang merangkumi tiga teras utama iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran.

Media Baharu