SHAH ALAM, 21 Ogos – Pembangunan kapasiti serta perkongsian kerjasama rentas agensi akan diperkasa bagi memperkukuh penguatkuasaan biokeselamatan khususnya di sempadan dan pintu masuk negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata langkah itu penting untuk memastikan pemuliharaan biodiversiti, menjamin keselamatan makanan dan menjaga kesihatan awam.
Menurut beliau, ketika ini hanya sebilangan kecil pegawai teknikal dan saintis bertauliah memiliki kepakaran dalam menilai risiko terhadap Organisma Yang Diubahsuai Secara Genetik (GMO).
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii / Foto Bernama
“Kesedaran yang semakin meningkat terhadap perundangan biokeselamatan telah melonjakkan permohonan daripada universiti dan institusi penyelidikan. Walaupun keadaan ini mencerminkan tahap pematuhan yang baik, ia memberi tekanan besar kepada jumlah pegawai teknikal dan saintis kita yang terhad.
“Cabaran ini menjadi lebih kompleks apabila perlu menilai produk GMO berasaskan makanan, ternakan dan pemprosesan, di mana sebarang kelewatan boleh memberi implikasi serius terhadap keselamatan makanan dan penyampaian perkhidmatan kepada pihak berkepentingan.
“Kerja pemantauan dan penguatkuasaan juga mesti bergerak seiring dengan perkembangan aktiviti bioteknologi di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Biokeselamatan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, di sini.
Huang turut menegaskan komitmen Malaysia sebagai peneraju serantau dalam aspek biokeselamatan, seiring usaha ASEAN mencapai pembangunan mampan dan masa depan yang lebih selamat.
Mengangkat tema “Memperkasakan Biokeselamatan untuk Kelestarian Masa Hadapan”, Simposium Biokeselamatan ini menjadi platform perkongsian ilmu serta mengukuhkan komitmen Malaysia untuk memastikan aspek biokeselamatan terus diberi perhatian.
Program berkenaan turut menampilkan pembentangan pakar dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan United Kingdom yang berkongsi pengalaman mengenai kawal selia, inovasi tempatan serta inisiatif libat urus awam dalam bidang biokeselamatan.