Malaysia-Pakistan perkukuh kerjasama keselamatan, penguatkuasaan

Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Malaysia dan Pakistan bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan menerusi penubuhan ‘Working Group antara kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan susulan secara lebih tersusun dan berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan meliputi kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan.
  • Perbincangan turut merangkumi keselamatan siber, imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan dan penguatkuasaan maritim.
  • Kedua pihak bersetuju menubuhkan mekanisme penyelarasan bagi memastikan pelaksanaan kerjasama lebih tersusun dan berkesan.
  • Malaysia berkongsi pengalaman memudah cara rundingan antara Thailand dan Kemboja, menekankan dialog serta diplomasi untuk kestabilan serantau.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat dua hala bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, H.E. Syed Mohsin Raza Naqvi, di Islamabad semalam.

Beliau berkata, pertemuan itu turut membincangkan pelbagai aspek keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan.

“Perbincangan turut meliputi keselamatan siber, imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan serta penguatkuasaan maritim.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan sebuah ‘Working Group antara kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan susulan dan memastikan setiap bidang kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Saifuddin Nasution, hubungan erat Malaysia-Pakistan perlu disokong kerjasama yang kukuh antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara.

Katanya, pertemuan itu turut membuka ruang untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, berimpak serta dapat diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas.

Dalam pertemuan berkenaan, beliau turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Saifuddin Nasution berkata, Malaysia turut berkongsi pengalaman dalam membantu memudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja.

“Pengalaman kedua-dua negara membuktikan bahawa dialog, diplomasi dan kerjasama kekal sebagai asas penting dalam menghadapi cabaran keselamatan dan geopolitik yang semakin kompleks,” katanya.

Beliau yakin hubungan lebih erat antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan Malaysia serta Pakistan akan terus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.