MELAKA, 11 Jun - Malaysia akan jadi negara pertama menawarkan akreditasi berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh digunapakai dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu mesyuarat mengenainya telah diadakan bersama menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan negara ASEAN bagi mengkoordinasi pelaksanaan akreditasi berkenaan.
"Kita dah capai persetujuan dan InsyaAllah Malaysia akan menjadi negara pertama yang menawarkan akreditasi ini bagi diterima pakai oleh seluruh negara anggota ASEAN," katanya pada Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 yang berlangsung di Melaka.
Beliau yang juga Pengerusi TVET menambah, dialog tersebut perlu merangka hala tuju yang jelas bagi memperkasa TVET dalam membina ekosistem bersifat ASEAN secara menyeluruh yang meletakkan TVET sebagai tunjang masa depan rantau ini.
Jelasnya, Majlis TVET ASEAN (ATC) akan menjadi pusat koordinasi yang menghubungkan dasar, menyelaras piawaian dan memacu pertumbuhan bersama.
Dialog ini menampilkan 29 ahli panel daripada negara anggota ASEAN, Australia dan UNESCO membabitkan 300 peserta secara fizikal dan dalam talian.
Bertemakan ‘TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau’ ia menekankan tiga pemangkin asas iaitu pendidikan dan latihan berkesan; memenuhi keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir serta meningkatkan taraf sosioekonomi.