fb fb fb fb fb

Malaysia negara pertama Asia Tenggara laksana LTE-Railway di jajaran ECRL

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (dua, kiri) bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (dua, kanan) bersama model tren ECRL dan logo ECRL pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengoperasian dan Penyelenggaraan ECRL serta Pelancaran Reka Bentuk Tren EMU dan Logo ECRL/Foto Bernama

PUTRAJAYA, 18 Disember - Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara melaksanakan rangkaian komunikasi LTE-Railway (LTE-R) menggunakan 4G di sepanjang jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kewujudannya dapat meningkatkan tahap komunikasi dan isyarat lebih pantas berbanding teknologi sebelum ini.

Kos pembinaan hingga RM50.27 bilion itu turut melibatkan perolehan tren Electric Multiple Unit (EMU) untuk penumpang serta Lokomotif Elektrik (E-Loco) bagi kargo.

"Reka bentuk tren EMU jenis enam gerabak dengan kapasiti membawa seramai 430 penumpang pada satu-satu masa yang akan diguna pakai untuk pengoperasian ECRL kelak. Tren EMU buatan syarikat China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) Dalian ini, turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan demi keselesaan penumpang," kata Loke.

Beliau berucap ketika melancarkan reka bentuk tren EMU dan logo ECRL di sini.

Tren EMU juga mempunyai tempat duduk bagi penumpang orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda atau penumpang yang memerlukan pertolongan khas.

Projek ECRL telah memperuntukkan sebanyak 12 set E-Loco daripada CRRC Dalian bagi tujuan pengangkutan kargo, dengan set pertama juga akan tiba di Malaysia menjelang akhir tahun depan.

Dalam pada itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) secara rasmi mewujudkan sebuah syarikat operasi (OpCo) dengan nisbah kepentingan 50:50.

Loke berkata, ia bagi pengoperasian dan penyelenggaraan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, perjanjian itu membolehkan perkongsian kos untuk operasi ECRL dan memudahkan pertukaran pengetahuan teknikal.

"MRL dan CCCECRL, masing-masing akan menanggung 50 peratus daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi dengan defisit. MRL akan memiliki sepenuhnya aset ECRL bagi pihak kerajaan Malaysia sepanjang fasa pengoperasian ECRL bagi memastikan kepentingan negara dilindungi setiap masa dan membolehkan pemerkasaan tempatan dalam infrastruktur nasional ini," katanya.

Tambahnya, ia dipersetujui pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara MRL dan CCCECRL bagi pengoperasian dan penyelenggaraan rangkaian rel yang turut disaksikan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing di Putrajaya. 

MRL merupakan pemilik projek ECRL manakala cCCc bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC).

ECRL telah mencapai tahap kemajuan keseluruhan sebanyak 76.06 peratus setakat November lalu.

TETITIA YUSOFF