PUTRAJAYA, 18 Disember- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) dan mesyuarat berkaitan di Kaherah, Mesir.
Mesyuarat tersebut berlangsung pada 18 hingga 19 Disember ini bertemakan ‘Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow's Economy’.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan Dr Zambry dijangka memberikan Kenyataan Menteri di Majlis Menteri-Menteri D-8 ke-21 hari ini.
Beliau turut akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi Sidang Kemuncak ke-11 D-8 dan satu lagi Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan pada 19 Disember.
Selain itu, Dr Zambry dijangka akan menyampaikan polisi dan inisiatif negara dalam meningkatkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan belia Malaysia bagi memacu dan meningkatkan ekonomi negara serta berkongsi pandangan Malaysia dalam meningkatkan sosioekonomi negara-negara anggota.
Beberapa mesyuarat dua hala juga akan diadakan bersama dengan wakil negara-negara anggota D-8 yang lain di sela-sela sidang kemuncak tersebut.
D-8 yang ditubuhkan di Istanbul, Turki pada 15 Jun 1997 merupakan sebuah kumpulan negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.