fb fb fb fb fb

Malaysia mohon penambahan kuota haji 2024 kepada 31,950

PUTRAJAYA, 27 Februari- Perbincangan telah diadakan dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mengutarakan hasrat Malaysia mendapatkan penambahan kuota haji rasmi kepada 31,950 jemaah pada tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata penambahan itu selaras dengan jumlah penduduk negara yang meningkat kepada 31.95 juta berdasarkan populasi 2019 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Insya-Allah sepertimana dalam perbincangan, tujuan utama akan memberikan komitmen untuk memberikan pertimbangan yang sewajarnya atas permohonan ini insya-Allah," kata Mohd Naim.

Beliau bercakap dalam sidang media setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

(Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah)

Dr. Tawfiq Fawzan dalam pada itu memaklumkan, pihaknya bakal memperkenalkan aplikasi ‘Nusuk’ versi Bahasa Melayu bagi kemudahan jemaah umrah dan haji khusus dari Malaysia.

"Kami berbesar hati untuk melancarkan satu program baharu iaitu Nusuk, satu aplikasi yang memaparkan segala kemudahan. Kami akan lancarkan dalam Bahasa Melayu. Program ini merangkumi segala kemudahan berkaitan dengan ibadah haji dan umrah, merangkumi urusan visa, urusan kebenaran, urusan memasuki kawasan raudhah, urusan penginapan, pengangkutan dan sebagainya," katanya.

Jelas beliau, aplikasi itu yang menggantikan Eatmarna pada November 2022, sebelum ini hanya mengandungi empat bahasa iaitu Arab, Inggeris, Rusia dan Indonesia.

Dr. Tawfiq Fawzan turut memberi jaminan akan menambah baik kemudahan jemaah haji dan umrah dari Malaysia supaya ibadah itu dapat dilaksanakan dengan sempurna.

(Malaysia mohon penambahan kuota haji 2024 kepada 31,950)

Media Baharu