fb fb fb fb fb

Gerakan rampas aset diplomatik Kerajaan Malaysia gagal

Mereka gagal dalam menyentuh hak milik harta Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 November - Malaysia sekali lagi melakar kejayaan selepas menang di Mahkamah Perancis dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu, sekali gus mematikan gerakan mereka untuk merampas aset diplomatik Kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Mahkamah Paris telah membatalkan perintah gadai janji berkanun oleh penuntut warga Filipina terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris.

Mahkamah sama juga merekodkan penarikan balik pihak penuntut Filipina bagi prosiding rampasan aset terhadap bangunan diplomatik sama.

“Kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 November ini membolehkan keputusan membebaskan kerajaan Malaysia daripada cubaan tidak sah oleh warganegara Filipina itu untuk merampas aset diplomatik Malaysia di Perancis secara menyeluruh.

“Mereka gagal dalam menyentuh hak milik harta Malaysia dan kita tidak sama sekali boleh bersikap tolak ansur ke atas tuntutan tidak sah ini,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Kedua-dua keputusan ini telah membebaskan negara daripada cubaan tidak sah warga Filipina tersebut untuk merampas aset Malaysia di Perancis.

Azalina kini berada di London untuk berjumpa dengan peguam lantikan Malaysia, bagi tuntutan Sulu fasa ketiga oleh pihak yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Ini juga sebagai usaha untuk menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif.

TETITIA YUSOFF